Friday, February 20, 2009

Dugaan

Sebagai seorang Muslim, aku sedar bahawa kaedah terbaik menangani masaalah adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam menganjurkan mereka apabila menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah.Allah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah juga.Aku harus menerima hakikat kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah. Aku meletakkan keyakinan bahawa ujian daripada ALLAH S.W.T adalah bertujuan untuk memantapkan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya."


KAEDAH MENGHADAPI TEKANAN :Banyak kaedah menghadapi tekanan berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.

  • Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Banyak kajian pakar psikologi Barat sendiri yang memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang.Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat adalah suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang tertumpu kepada sesuatu (kepada Allah).Gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.
  • Solat turut membantu memberi kesan positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung dan gelombang otak.Daripada konteks Islam, mendirikan solat fardu lima waktu, dilengkapkan dengan amalan solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah dalam sebarang kesukaran.Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)
  • Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid dan bertasbih adalah amalan yang mampu menenangkan jiwa seperti jaminan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)
  • Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda.” (Hadis riwayat Bukhari)Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan kerana al-Quran dan hadis adalah sumber teragung merungkaikan segala permasalahan.
  • Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jugalah tempat yang kekal selamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa saja yang berlaku di dunia ini baik yang positif ataupun negatif sekadar warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama dan akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
  • Kelima, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang sudah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghaafir, ayat 60)Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar ia boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

No comments:

Post a Comment